Monday, January 18

EXPOSE MISTIK: INI TEMPAT AKU, BUKAN TEMPAT KAU. AKU PATUT KEKAL DI SINI, KAU YANG PERLU KELUAR!

ASSALAMUALAIKUM W.B.T.

Dah lama rasanya saya tak update blog. Kebelakangan ni memang malas nak mengadap lappy. Jangankan blog, facebook dengan email pun tak terjenguk. Elok juga rasanya macam ni. Mendidik anak dalam kandungan supaya tak terlampau taksub dengan kecanggihan IT... :)

Tajuk kat atas tu macam gempak je. Tapi memang betul. Sepanjang 28 tahun saya hidup, ini la kali pertama saya berdepan dengan situasi ala-ala Expose mistik ni. Sungguh! Peristiwa ini memang bagi pengajaran yang cukup mendalam untuk saya dan insan-insan di sekeliling saya. Bukan setakat bagi pengajaran. Tapi membuatkan rasa geram dan marah bercampur menjadi satu, dan akhirnya wujud rasa trauma dan juga fobia yang tidak keterlaluan.

Sebenarnya, saya cukup susah nak berkongsi segala masalah yang berkaitan dengan taska dan tadika saya. Even dengan family pun, saya akan pastikan mereka mendengar cerita yang menyenangkan sahaja. Tapi apa yang berlaku baru-baru ni membuatkan saya terpaksa membongkarkan segala cerita-cerita yang amat tidak menyenangkan sekaligus mengundang rasa tidak selesa di kalangan kami sekeluarga. Saya mengambil risiko yang agak tinggi untuk berkongsi cerita ini. Niat saya, sekadar ingin berkongsi pengajaran daripada peristiwa yang berlaku.

Jun 2009... Kalau ada yang masih ingat, saya pernah bercerita di blog SEHARUM KAYU MANIS mengenai mimpi-mimpi berkaitan ular yang saya alami. Rentetan dari itu, taska saya mengalami kemerosotan jumlah kanak-kanak. Boleh dikatakan setiap bulan mesti ada penarikan diri dari pihak pelanggan dengan alasan-alasan yang sangat munasabah seperti 'dah dapat maid', 'mak datang dari kampung, nak jaga anak-anak', 'hantar di rumah jiran', dan tak kurang juga ada yang memberi alasan nak 'bertukar angin coz anak dah boring dengan kawan-kawan di taska'. Alhamdulillah...Setelah menjalani rawatan di Darussyifa', akhirnya saya tidak diganggu mimpi-mimpi berkenaan ular lagi. Pun begitu, jumlah kanak-kanak di taska telah merosot sebanyak 30%. Manakala tadika mengalami kemerosotan jumlah kanak-kanak yang amat teruk iaitu sebanyak 70%. Tak apa la...Hidup ibarat roda. Kadangkala kita di atas, kadangkala kita di bawah. . . Saya redha dengan ketentuan yang telah ditakdirkan untuk saya.

Julai 09-November 09, taska beroperasi seperti biasa manakala tadika pula beroperasi seperti hidup segan mati tak mahu. Seperti yang saya katakan tadi, tak mengapa la. Ini sudah bahagian saya. Dalam tempoh ini, terdapat sedikit penambahan bilangan kanak-kanak di taska sebanyak 5%. Itupun sudah memadai bagi saya. Cuma, ada masalah lain yang timbul. Tiga pekerja memohon untuk berhenti dengan alasan yang boleh diterima akal. Ingin berkahwin, dapat kerja yang lebih baik dan nak jaga mak yang sakit. Okay...Saya let go sahaja. Cari pekerja baru. Saya minta pekerja lama yang masih ada untuk memberi latihan dan tunjuk ajar. Sesuatu yang memenatkan bagi pekerja lama, tapi saya pujuk mereka supaya tabah mengharunginya. Alhamdulillah...Pekerja baru cepat belajar. Taska dapat dikendalikan dengan sebaiknya. Malah agak seronok mempunyai pekerja seperti mereka yang sangat berinisiatif untuk memperbaiki mutu perkhidmatan taska yang telah tercalar tanpa sebab yang kukuh. Team lama dan team baru bersatu untuk membantu saya untuk memulihkan keadaan. Mereka sama-sama melakukan solat hajat dan tahajjud hampir setiap malam. Ayat-ayat Ruqyah Syar'riyah juga sentiasa berkumandang di taska dan tadika. Tidak cukup dengan itu, setiap malam mereka akan mengaji beramai-ramai dan berdoa semoga keadaan akan pulih seperti sediakala.

Dan, dek kerana ini jugalah maka 'sesuatu' telah mengamuk dan mula menunjukkan belang. Pertengahan Disember 09, semua pekerja mula mengalami peristiwa aneh dan agak menyeramkan. Mungkin ramai yang tidak percaya jika saya katakan, mereka mengalami gangguan yang kadang-kadang tak boleh diterima dek akal. Pernah suatu ketika, salah seorang pekerja membaca surah Yaasin...Tiba-tiba tubuhnya yang sedang bersila telah terapung seketika dan kemudian terhempas semula ke lantai. Sakitnya bukan kepalang! Seorang lagi pekerja, ketika sedang bersiap-siap untuk tidur telah mendapati dirinya direnung dengan jarak yang sangat dekat, sampai boleh dengar desahan nafas lagi. Seorang lagi pekerja, dengan izin Tuhan telah dinampakkan 'sesuatu' yang menyerupai seekor kingkong berbulu lebat. Ada lagi seorang pekerja, ketika selesai melakukan solat tahajjud, tiba-tiba telinga kanannya menebal dan berasa pijar seperti terkena cili., kemudian tiba-tiba disergah oleh satu suara yang entah dari mana datangnya. Ada banyak lagi peristiwa tak masuk dek akal yang mereka alami. Kami simpan semua cerita itu dalam lipatan kenangan.

Ketika itu, kandungan saya mengalami sedikit masalah hingga menyebabkan saya perlu kerap berjumpa doktor untuk pemeriksaan terperinci. Suami pula ke luar negara. Jadi saya terpaksa pulang ke kampung supaya Mak dan Abah dapat menjaga dan membawa saya berjumpa doktor.

Bodoh rasanya jika saya sekadar mendiamkan diri apabila pekerja bercerita mengenai gangguan yang mereka alami. Bayangkan...Saya tidak dapat berada di sisi pekerja-pekerja saya saat mereka amat memerlukan kehadiran saya dan suami. Tapi, saya bersyukur, kesemua mereka memahami keadaan saya. Di kampung, saya hubungi Ustaz dari Darussyifa' dan bercerita secara ringkas mengenai gangguan tersebut. Bukan rezeki saya, ustaz yang biasa merawat saya tidak dapat membantu kerana mempunyai urusan lain. Saya diperkenalkan dengan seorang lagi rakannya, juga dari Darussyifa' yang kebetulan tinggal di taman yang berdekatan dengan taska saya.

Dipendekkan cerita, dua orang pekerja saya telah pergi ke rumah ustaz tersebut untuk memohon bantuan. Rupa-rupanya ustaz baru dua hari sampai dari Mekah, menunaikan fardhu haji. Dalam keadaan 'jet lag', ustaz sempat bergurau mengatakan kehadiran dua orang pekerja saya dirumahnya telah diiringi oleh beberapa 'orang' dari taska dan tadika. Kata ustaz, ada dua kemungkinan. Yang pertama, gangguan sihir. Dan yang kedua, mungkin disebabkan tapak taska dan tadika. Ustaz memberikan beberapa botol air penawar dan juga sebekas garam dan lada hitam untuk dibawa pulang ke taska dan tadika. Dia berjanji untuk datang keesokan hari bagi membantu menghalau sebarang bentuk gangguan yang telah berlaku kebelakangan ini.

Keesokan hari, ustaz menghubungi penyelia taska dan menyatakan bahawa keadaan kesihatan beliau tidak mengizinkannya untuk membantu dalam masa terdekat ini. Insyaallah beliau akan segera datang sebaik sahaja demamnya kebah. Ketika penyelia taska menghubungi saya untuk memaklumkan mengenai perkara ini, airmata saya jatuh berderai. Ikutkan hati, saya nak sangat balik ke sana untuk sama-sama mengharungi sebarang bentuk gangguan yang mereka alami. Tapi dalam masa yang sama, doktor telah menasihatkan saya supaya tidak melakukan banyak pergerakan...Apatah lagi memandu.

Akhirnya saya terpaksa bercerita kepada Mak dan Abah mengenai masalah di taska dan tadika, dengan harapan Mak dan Abah dapat membantu menyelesaikannya. Dan rupanya, apabila bercerita sedikit sebanyak mengenai hal ini kepada ahli keluarga...Beban yang saya tanggung kebelakangan ini menjadi ringan seringan ringannya. Moral of the story... kalau ada problem, lekaslah berkongsi dengan keluarga selagi ianya boleh dikongsi.

Kaklong saya segera memperkenalkan seorang ustaz. Dan dengan izin Allah, ustaz inilah yang membantu memulihkan taska dan tadika saya dari gangguan sihir. Insyaallah nanti saya akan sambung mengenai proses rawatan yang dilakukan dalam usaha memulihkan kembali taska dan tadika daripada sebarang bentuk gangguan.

Sehingga berjumpa di lain waktu.

WASSALAM.













Friday, January 8

LIMA PERKARA ANEH

ASSALAMUALAIKUM W.B.T.

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahwa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahwa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

WASSALAM