Sunday, November 29

MENGAPA BLOG INI DIHASILKAN?

ASSALAMUALAIKUM W.B.T.

Kepada kawan-kawan yang pernah mengenali saya sebagai KAYU MANIS atau KM, pasti pernah menjadi follower atau pembaca blog SEHARUM KAYU MANIS.

Sayang seribu kali sayang, blog kesayangan saya itu telah diceroboh oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Sejak 18 November yang lepas, password blog tersebut telah ditukar hingga menyebabkan saya tak dapat sign in lagi ke blog tersebut. Dan untuk pengetahuan semua, entri bertajuk BLOG NI BUKAN BEST PUN bukan dikarang oleh saya, tetapi oleh PENCEROBOH tersebut. Jika dibaca isi kandungan entri tersebut, beliau seolah-olah mahu NYAHKAN SAYA DARI BLOG SENDIRI. Menyedari saya sudah tidak punya hak untuk sign in ke blog tersebut, maka dengan rasa rendah dirinya...Saya pun keluarlah secara terhormat dari situ.

Mengapa blog ini dihasilkan? Sejujurnya...Bila perkara ini berlaku, saya serik untuk ber'blogging'. Tapi saya sangat sayangkan persahabatan yang kita semua jalinkan di alam maya ini. Walaupun tak pernah bersua muka, tapi kemesraan yang terjalin seolah-olah kita semua sudah kenal lama. Kita semua sama-sama berkongsi rasa. Skrin laptop menjadi saksi, kadang-kadang saya tersenyum, ketawa...Malah kadang-kadang turut menangis setiap kali membaca baris-baris ayat yang kalian coretkan. Maka disebabkan itu, saya wujudkan blog ini.

Mengapa DIARI JASNIA? Saya gunakan nama SEHARUM KAYU MANIS pada blog terdahulu kerana suatu ketika dulu, bekas gula saya telah dimasuki semut. Dan hanya dengan meletakkan beberapa batang kulit kayu manis di dalam bekas gula itu, semut lari...Hasilnya air teh saya berbau harum dan manis :) Dari situlah wujudnya blog SEHARUM KAYU MANIS.

Dan sekarang...DIARI JASNIA! Tidak ada cerita di sebalik nama blog ini. Tetapi saya abadikan gabungan nama saya dan suami- JASNI dan NORDINA. Suami saya selesa dipanggil Jas, dan saya pula selesa dipanggil Na. Untuk menzahirkan rasa cinta dan kasih saya terhadap suami, dengan rela hati saya nukilkan nama penuh beliau (JASNI) dan cukup sekadar huruf terakhir pada nama saya (A) digunakan untuk menamakan blog ini. JASNIA adalah gabungan nama yang unik dan serasi bagi kami berdua. Saya sangat sukakannya!

DIARI JASNIA bukan sekadar menceritakan mengenai liku-liku hidup saya dan suami. Tapi saya suka bercerita apa sahaja. Kadang-kadang saya teringin nak jadi minah kepoh yang suka bergossip tak tentu hala. Ada ketikanya pula, saya suka jadi Mak Andeh yang sebenarnya tak tau apa, tapi buat-buat tau. Kena mood saya nak jadi ustazah, slot tazkirah akan saya selitkan pada setiap hari Jumaat. Kalau saya teringin nak menunjuk-nunjuk dan berlagak terror, mungkin akan ada beberapa resepi cilok menjilat jari yang akan dikongsikan di sini .Tiba-tiba, datang angin saya nak jadi penglipurlara...Maka persiapkanlah diri kalian untuk membaca sesuatu yang merapu meraban dan merepek dari saya. Biasanya saya suka mendongengkan kenangan pahit manis yang telah saya lalui suatu ketika dahulu. Dan jika anda ingin lihat sesuatu yang matang atau mungkin profesional dalam diri saya, insyaallah saya juga akan bercerita mengenai suka-duka saya menjalankan perniagaan TASKA dan TADIKA sejak tahun 2006 hingga sekarang. Pendek kata, dalam DIARI JASNIA, macam-macam ada! Insyallah.

Oh ya...Sebelum saya mengundur diri, ingin sekali saya berpesan...Harap anda semua jangan serang pemilik baru SEHARUM KAYU MANIS. Biarlah dia berkarya sebebasnya di blog itu. Dia telah saya maafkan dengan seikhlas hati. Mungkin saya kenal orangnya, tapi saya tak berani meneka sebab saya takut jika dia adalah orang yang paling tak disangka-sangka. Walaupun ada sedikit rasa sakit hati, tapi kadang-kadang saya rasa seronok juga mengintai blog tersebut. Manalah tau kalau-kalau ada entri baru yang 'mengusik' saya lagi...Boleh la jadi bahan gelak saya dan suami. Ahli keluarga pun dah tahu blog itu bukan hak saya lagi. Maka kami semua boleh bergelak ketawa apabila bercerita mengenai kisah 'pencerobohan' tersebut. (Mulai hari ini, tutup cerita pasal dia)

Sehingga bertemu di lain waktu.

Wassalam.